Saturday, April 9, 2011

BUKA SANA NAK TUTUP SINI, INILAH KERJA UMPORNO

'Berok naik nyioq’ nak alih isu UMNO songlap RM7 juta

Posted on Friday, April 08 @ 09:04:18 PDT by paktam
Artikel

Oleh kedahla.blogspot.com/

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini hanya berlangsung kira-kira satu setengah jam. Hampir keseluruhan sidang diisi dengan para Exco Kerajaan Negeri menjawab soalan dari ahli-ahli Dewan. Selesai sidang, ADUN BN merungut di hadapan media kononnya kerajaan negeri tidak memberi masa yang panjang untuk mereka mengemukakan lebih banyak soalan.

BN hanya meludah ke langit dan tertimpa batang hidung sendiri. Tempoh masa bagi sidang DUN untuk pertengahan atau penghujung penggal di Kedah memang begitu sejak separuh abad lalu.

BN yang membuat peraturan itu dulu untuk menyekat pembangkang dari bertanya terlalu banyak soalan. Bila giliran mereka jadi pembangkang, rasailah pula peraturan yang mereka sendiri cipta dulu.

Media-media talibarut BN memfokuskan kepada isu ‘berok naik nyioq’ untuk membidas Menteri Besar kononnya menghina usaha BN membawa balik pelajar dari Mesir. Mereka cuma mahu mengalih isu.

Isu yang lebih besar dari ‘berok naik nyioq’ ialah pendedahan terperinci Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Amiruddin Hamzah berhubung penyelewengan kerajaan BN dulu menguruskan sebuah GLC iaitu Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC).

Beliau mendedahkan bagaimana STDC telah membelanjakan lebih RM8 juta untuk sumbangan, walhal RM7.5 juta tidak diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pelepasan cukai.

Akibatnya STDC terpaksa juga menjelaskan cukai sebanyak RM3.1 juta di samping denda atau penalti kira-kira RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang terpaksa dibayar oleh STDC di bawah kerajaan PR sekarang ialah sebanyak RM4.1 juta. Semua beban yang ditinggalkan oleh BN itu terpaksa dijelaskan oleh kerajaan kini.

Pendedahan Amiruddin benar-benar menyebabkan semua ADUN BN panas punggung. Belum habis sesi soal jawab, bekas CEO STDC Dato’ Syed Sobri Syed Hashim yang juga merupakan ADUN Kuala Nerang bergegas meninggalkan Dewan.

Saya pernah menulis beberapa kali perihal penyelewengan STDC menjelang pilihanraya umum ke 12 yang membelanjakan wang GLC tersebut kira-kira RM2 juta untuk tujuan politik BN. Tapi penemuan kali ini lebih mengejutkan kerana jumlah sebenar duit STDC yang ‘disedekahkan’ kepada BN, khususnya Umno adalah jauh lebih besar.

Laporan pihak Audit berhubung perbelanjaan tidak wajar dan bayaran yang dibuat tanpa sokongan dokumen sepatutnya cukup banyak. Antaranya ialah sumbangan terhadap Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap - RM10 ribu (23.01.2007), lawatan Pemuda Umno ke Indonesia - RM10 ribu (14.03.07), lawatan Puteri Umno ke Indonesia – RM5 ribu (18.03.07), sumbangan kepada Umno Kedah – RM200 ribu (19.04.07), sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok – RM5 ribu (13.05.07), sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap – RM4 ribu (22.05.07), sumbangan kepada Umno Cawangan Padang Kerasak Naka – RM5 ribu (30.05.07) dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM26,150.00 (01.01.08).

Seterusnya ialah pemasangan billboard untum mesyuarat perwakilan Umno Padang Terap – RM10 ribu (01.01.08), sewa khemah dan meja bulat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahgian Padang Terap – RM10 ribu (16.01.08), membekal kain tudung kepada ahli Puteri Umno – RM20 ribu (03.02.08) dan makan minum untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM21,700.00 (15.02.08).

Menteri Besar masa itu Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan wang STDC untuk menerbitkan kalendar peribadi beliau yang diberi percuma kepada rakyat dengan kos RM80 ribu (06.12.07 & 20.02.08). Banyak lagi pembayaran yang disifatkan oleh Audit sebagai ‘tidak berkepentingan dan tidak berkaitan dengan aktiviti dan objektif penubuhan STDC’ namun tidak mungkin disiarkan sepenuhnya dalam ruangan yang terhad ini.

STDC yang ditinggalkan kepada kerajaan PR adalah sebuah syarikat bermasalah, banyak hutang dan gawat. Namun kebijaksanaan pentadbiran baru berjaya memulihkan syarikat tersebut sekalipun terbeban dengan hutang-hutang yang ditinggalkan.
Pada 2007 STDC mengalami kerugian sebanyak RM2.56 juta, manakala pada 2008 kerugiannya ialah sebanyak RM144,467.00. Kerugian tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada pengurusan baru kerana mereka mengambilalih selepas tiga bulan tahun 2008. Pada tahun 2009 keuntungan STDC ialah RM333,978.00 dan tahun 2010 keuntungan sebanyak RM826,110.44.

Satu lagi perkara menarik ialah jumlah emolument untuk ahli-ahli lembaga pengarah. Di masa BN, emolument untuk ahli lembaga pengarah ialah RM125,200 (2006) dan RM251,800 (2007). Bagi tahun 2008 antara Januari hingga Mac sahaja, emolument yang diberi ialah sebanyak RM50,900. Bagi mereka untung atau rugi bukan persoalan, yang penting SDTC seolah-olah dijadikan tempat mengaut kekayaan.

Ia berbeza sama sekali dengan emolument yang diterima ahli lembaga pengarah di zaman PR. Pada tahun 2009 ahli lembaga pengarah hanya menerima keseluruhan RM53,500 manakala bagi tahun 2010 cuma RM8,000.

Semua catatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta hitam putih (bukan video hitam putih). Ia bukan rekaan macam video seks bikinan Datuk Trio. Sebab itu apabila Dato’ Amiruddin membentangkan di Sidang DUN, semua ADUN BN tidak dapat menyanggah. Semua media talibarut BN tidak mengungkapkan walaupun sepatah perihal penyelewengan pengurusan GLC di zamam BN itu.


Sekarang terserah kepada jentera penerangan parti untuk menjadikan isu ‘Skandal RM7 juta’ itu sebagai modal dan peluru untuk terus mengasak BN Kedah hingga rapat ke di dinding. Biar mereka rasakan pula asakan kita selepas ini.

Sunday, March 27, 2011

BAGAIMANA MAHATHIR BAGAIMANA ANWAR?

Bila Mahathir yang lakukan vs Sekiranya Anwar yang lakukan

Posted on Sunday, March 27 @ 06:38:50 PDT by paktam
Pendapat

Oleh ExPet

1. Apabila Mahathir melakukan lawatan rasmi ke Vatican bersama-sama dengan rombongan dari JAKIM termasuk Ustaz Uthman al-Muhammadi, maka suratkhabar dan TV memuji-muji lawatan ini untuk keamanan dunia dan kedamaian antara agama. Apabila isteri Mahathir, Siti Hasmah mencium tangan Pope John Paul, maka para pegawai JAKIM, TV dan suratkhabar memuji dan memuja akan perbuatan ini sebagai bukti penganut Islam itu orang yang bertoleransi dan menghormati akan agama lain.



SEKIRANYA Anwar yang melakukan perkara di atas, ia adalah "pluralisme" dan boleh mengancam akidah umat Islam. Sekiranya Khalid Samad atau Mat Sabu yang mengikuti rombongan ini, maka para TV dan suratkhabar akan dipenuhi dengan kenyataan oleh pegawai Jabatan Kemajuan Ikan Malaysia (JAKIM) mengenai kesesatan akidah mereka. Sekiranya Wan Azizah mencium tangan Pope John Paul, sudah tentu ianya akan merosakkan akidah, menurut JAKIM.

2. Apabila Mahathir melawat Antartika bersama-sama dengan beberapa orang chukong, editor NST, setiausaha politik dan ahli-ahli keluarga beliau, ia dianggap sebagai langkah yang bijak dan berwawasan. Juga ia membuktikan perdana menteri ini seorang yang mempunyai pemikiran yang luas dan saintifik. Lawatan ini juga akan dipuji oleh para media sebagai memberi kebaikan kepada negara kerana ia akan menajamkan dan memberi ketenangan kepada pemikiran pemimpin negara.

SEKIRANYA Anwar yang melakukan perkara di atas, ia adalah suatu pembaziran dan penyalahgunaan kedudukan sebagai pemimpin. Ia juga tidak memberi apa-apa manfaat kepada negara selain membazir masa dan wang.

3. Apabila Mahathir menukar medium pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris untuk sekolah kebangsaan dan membenarkan tuntutan supaya medium pengajarannya dalam bahasa ibunda untuk sekolah vernakular, maka ia adalah tindakan yang bagus dan berwawasan. Ia juga membuktikan perdana menteri seorang yang berani dan tegas dalam membuat keputusan (menukar kepada bahasa Inggeris untuk sekolah kebangsaan) dan juga memahami tuntutan kaum-kaum minoriti (kerana membenarkan medium dalam bahasa ibunda untuk sekolah vernakular).

SEKIRANYA Anwar yang melakukan perkara ini, ia adalah pengkhianatan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Juga seorang yang bacul dan panakut kerana mendengar tuntutan oleh kaum minoriti. Perbuatan ini juga (sekiranya Anwar yang melakukannya) boleh merosakkan masa depan anak-anak Melayu di luar bandar
http://expet.blogspot.com

Tuesday, February 1, 2011

ISLAM MAHATHIR, ISLAM NIK AZIZ: APA BEZANYA?


Saya petik:
[HD] Ketika berperang kata-kata dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara tiba-tiba menghunuskan keris beliau kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana keengganannya untuk turut serta menghentam Kuan Yew.

Mahathir, tiba-tiba ingin muncul sebagai hero membela Islam dalam menghentam Kuan Yew, yang baru menerbitkan buku terbarunya bertajuk ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going’ menyeru umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut, selain mengkritik cara Mahathir melayani pengganti-penggantinya selepas bersara menjadi Perdana Menteri.

Nik Aziz, bagaimanapun enggan terlibat dalam pertengkaran dua pemimpin tersebut, dengan mengatakan bahawa ada orang Melayu-Islam yang turut menolak Islam.

“Kuan Yew hanya cakap jangan pegang Islam kuat sangat berbanding dengan orang Melayu di negara kita yang buang semua (Islam) dan ambil kebangsaan,” Nik Aziz dipetik sebagai berkata.

Ekoran kenyataan Nik Aziz, Mahathir terus menuduh beliau sebagai tidak menyokong Islam kerana lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Kuan Yew.

Namun begitu, serangan Mahathir terhadap Nik Aziz penuh dengan hipokrisi dan kemunafikan Umno, terutama ketika dilihat berlatarkan insiden-insiden terbaru cukup untuk menunjukkan Umno selektif dalam "membela Islam" dan untuk keuntungan politik semata-mata.

Contoh terbaru sifat hipokrisi ini terserlah ketika kempen pilihanraya kecil DUN Tenang yang baru berakhir, di mana Umno gagal untuk memberikan sebarang teguran terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang menyerang amalan Islam semata-mata untuk menakutkan pengundi Cina terhadap PAS – satu misi, yang akhirnya gagal dengan teruknya berdasarkan keputusan pilihanraya di mana undi Cina kekal di tangan PAS.

Tiada seorang pun pemimpin Umno, termasuklah Mahathir yang tampil ke depan untuk mengkritik Presiden MCA, Chua Soi Lek atas penghinaan terang-terangan beliau terhadap Muslimat yang enggan bersalam dengan kaum lelaki bukan muhrim.

Disokong dengan kesenyapan Umno dan bermati-mati untuk tidak memohon maaf, Chua yang pernah ditangkap bertelanjang bulat dalam skandal video seksnya, telah secara angkuh mempertahankan kenyataannya. Dan ketika dikritik atas sifat jahilnya terhadap budaya lain, Chua membalas bahawa ‘there was nothing great’ (Apa yang hebat sangat) untuk mengenali amalan agama Islam.

"So what is so great about that? That is your religious values which I don't know. How am I to know when I'm not practising that religion?”

"I have the right to say that it's basic manners to shake hands with people. That's my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands," Chua dipetik sebagai berkata.

(Apa yang hebat sangat tentang itu? Itu amalan agama kamu yang saya tak tahu. Macammana saya nak tahu jika saya tak pratikkan agama itu?

(Saya mempunyai hak untuk mengatakan bahawa ini adalah sikap sopan-santun yang asas untuk bersalam dengan orang lain. Itu nilai saya. Faham? Kamu mesti juga menghormati nilai saya, iaitu sikap sopan-santun yang baik, termasuk bersalam
)

Dalam isu perpecahan umat Islam di negara ini, Mahathir sekali lagi lupa memandang cermin apabila menyalahkan PAS dan Nik Aziz sebagai pemecahbelah orang Islam kepada tiga kumpulan yang menjadi penghalang terbesar kepada ‘perpaduan Melayu’, apabila sejarah jelas menunjukkan bahawa siapa yang memecahkan politik orang Melayu pada tahun 1988 dan 1998.

Pada tahun 1988, pertarungan hebat Mahathir dengan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Presiden Umno telah memecahkan Melayu Umno kepada dua, dengan terbentuknya parti Semangat 46 yang menjadi kepada pemangkin kepada gabungan parti pembangkang yang pertama, Angkatan Perpaduan Ummah antara PAS dan Semangat 46 (serta Hamim dan Berjasa).

Satu dekad kemudian, orang Melayu, dan orang Malaysia pada keseluruhannya dilanda kemelut apabila Mahathir mengambil keputusan untuk membuang Anwar Ibrahim daripada kabinetnya, dengan tuduhan-tuduhan yang paling dahsyat yang tidak pernah dilihat dalam sejarah politik orang Melayu.

Ini membuka kepada lanskap politik yang baru dengan pembentukan Parti Keadilan Rakyat, yang kini menjadi salah satu daripada tiga komponen parti terpenting dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan PAS.

Dalam meneruskan hujahnya, Mahathir juga menyoal, teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam apabila mereka memastikan negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam dan juga menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan.

Mahathir, sudah tentunya tidak mengiktiraf masalah yang paling jelas pada saat ini yang mengganggu pemimpin “nasionalis Melayu” iaitu rasuah dan salahguna kuasa yang kian berleluasa.

“Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam.

"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?” kata Dr Mahathir, sekali lagi menunjukkan kejahilannya dalam politik Islam.

Mahathir akan menjadi orang terakhir untuk menerangkan samada korupsi berleluasa, kebocoran dan ketirisan besar-besaran, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi terhadap bangsa lain melalui slogan bauran Ketuanan Melayu juga sebahagian daripada "amalan Islam" yang disebutnya.

Sebaliknya, Nik Aziz nampak lebih konsisten dengan mesejnya bahawa Islam adalah penyelesaian kepada masalah-masalah negara, dan untuk beliau, tiada alasan untuk pemimpin Melayu-Islam untuk menolak Islam dalam pentadbiran mereka.

Untuk membuktikan keIslaman, mereka hanya perlu menghentikan rasuah, salahguna kuasa, kebocoran kewangan, ketidakadilan dan diskriminasi terhadap kaum lain.

Walaupun ramai yang nampak bahawa ini adalah satu percubaan (daripada buku politik Mahathir) untuk mengalihkan padangan orang Melayu kepada satu “common enemy” (musuh bersama) daripada kepincangan dan masalah yang sedang dialami negara kita, serangan Dr Mahathir mungkin mempunyai agenda yang lebih besar iaitu untuk membantu Umno untuk menyingkirkan musuh yang paling digeruni mereka, iaitu Nik Aziz.

Apa tidaknya, Nik Aziz telah menjadi batu sandungan (penghalang) terbesar kepada idea perpaduan Mahathir dan ipar-iparnya di Perkasa, dan mematikan Nik Aziz juga akan melumpuhkan segala usaha menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai pengganti Umno pada pilihanraya umum yang akan datang.
P/s: Sebenarnya banyak fakta dan hujah yang boleh ditambah pada artikel ini, namun saya tidak mahu menambah kepanjangan artikel sedia ada.