Monday, January 31, 2011

MENGHINA ISLAM : DARI MAHATHIR HINGGA NAJIB

Umno terpaksa galas MCA yang lumpuh
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.

"Tak ada batu, beban digalas," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.

"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.

"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.

Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.

"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.

"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.

"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.

Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.

"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.

"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.

Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.

Monday, January 24, 2011

SIAPA YANG LEBIH MEMAHAMI ISLAM: MCA ATAU DAP?

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Mana dia Tok Mufti, ustaz, ulama muda, tok-tok Imam dan golongan agamawan yang menyokong Umno dan ketuanan melayu. Kemana mereka semua ini menikus. Takkan mereka tak sedar, ucapan pemimpin mereka apabila berhadapan dengan pengundi cina. Betapa ucapan mereka mengugut kalangan non muslim dengan Negara Islam. Cakap mereka lebih munafik dari para munafik dan lebih kafir dari golongan kafir.

Yang mengherankan kita pula apabila mereka bercakap dihadapan orang Islam dan para agamawan, dihadapan guru-guru sekolah agama atau para imam dan bilal masjid.. lebih Islam pada Islam pulak. Bercakap untuk memperjuangkan agama mengalahkan pejuang Palestine dan para sahabat nabi. Terlopong dan ternganga para imam… betapa tulus ikhlasnya para pemimpim UMNO ni nak menegakkan Islam.

Di Tenang ini zahirlah wajah sebenar UMNO-BN. Inilah sikap talam dua muka. Lidah bercabang pimpinan UMNO-BN. Sebab itu kalau bertemu ular dengan pemimpin UMNO diharap bunuhlah UMNO dahulu. Sebab betapa berbelitnya pimpinan UMNO demi pangkat dan kuasa mereka meskipun terpaksa mereka jual apa sahaja.

UMNO sendiri terpaksa menurut kehendak MCA apabila calon daripada pimpinan UMNO Labis ditolak oleh MCA kerana menjadi ahli PERKASA. Sebab itulah dicalonkan Azahar Ibrahim sebagai calon UMNO yang tidak popular dan bukan dari pimpinan UMNO Labis. Kita tengoklah pulak macamana dengan novel Interlock yang kontreversi itu. MIC sudah mendesak agar digugurkan novel tersebut. Kita tengoklah nanti, UMNO ada batu ke tidak???

Ketika berkata Chua Soi Lek sepertimana yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini..
“ Normala tidak akan datang ke kuil ini, dia tidak akan berjabat tangan dengan orang ramai. Saya telah menerima aduan tentang perkara ini, Dia seperti isteri Anwar Ibrahim.. Dia memakai sarung tangan jika hendak berjabat tangan, jika anda semua boleh menerima nilai-nilai Islam sebegini, teruskan dan undilah PAS. Jika anda boleh menerima cara hidup yang mengikut ajaran Islam itu, mudah saja.. undilah PAS”

Inilah dikatakan kelemahan pimpinan UMNO. Bukan sahaja terpaksa mengikut desakan MCA bahkan gagal mengawal rakan kongsi dalam BN supaya tidak menghina ajaran Islam bahkan menakutkan rakyat dengan Islam. Betapa sekian lama UMNO gagal member penjelasan yang sebenarnya tentang Islam.

Ini adalah kerana pimpinan UMNO itu sendiri jahil tentang Islam. Bahkan jenis keras kepala yang tak ingin mendengar nasihat atau tunjuk ajar ulama. Ini yang menyebabkan mereka menyokong pula penghinaan oleh Chua Soi Lek. Dengan tidak berasa bersalah walau sikit pun ketika mengulas kenyataan Chua Soi Lek, TPM Tan Sri Muhyidin Yasin berkata: “ PAS masih menympan hasrat mereka untuk membentuk negara Islam jika berjaya menguasai Putrajaya. Sejak daripada dahulu pun PAS tidak pernah mengatakan mereka nak pinda perlembagaan (membentuk Negara Islam) mereka, ianya masih ada… jadi baik juga MCA mengingatkan kepada masyarakat cina”.

MB JOHOR, Ghani Othman: “Apa akan jadi bila PAS mendapat kuasa? Pas kini sudah sampai ke kawasan-kawasan FELDA. Mereka kata mahu menubuhkan Negara Islam. Mereka kata mahukan undang-undang yang akan memotong tangan kamu jika mencuri”
Inilah sikap sebenar UMNO. Mereka bak sesumpah. Boleh menukar wajah bersesuaian dengan tempat persembunyian mereka. Apa peduli halal dan haram. Yang penting mereka meraih undi untuk menenangan di dun Tenang. Dalam masa yang sama mereka melempar batu menyembunyi tangan. Media bersama mereka akhirnya Pas akan dikambing-hitamkan. UMNO dibedak putih melepak. Tetapi sampai bila agenda penipuan dan kebatilan ini??? Mereka cuba mengalih isu sebenar yang menimpa rakyat. Mereka menyerang menggunakan isu sensitif umat Islam. Jangan terjebak ke perangkap provokasi UMNO-BN. Apapun yang pasti akan tiba lahirnya kebenaran dan kebatilan UMNO akan tumpas dan tenggelam.
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Monday, January 10, 2011

SELAMATKAH AWANG SELAMAT?

Oleh Suara Keadilan

faekah1Terlalu banyak yang diperkatakan tentang tulisan Awang Selamat selama ini. Saya cuba untuk tidak ambil pusing walaupun cukup meluat membacanya. Namun tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia pada Ahad lalu sudah melampaui batas-batas kewarasan apatah lagi ia terpampang di dada akhbar perdana.

Akhbar yang suatu ketika dulu menjadi rujukan saya terutama ketika mahu mengambil peperiksaan STPM bagi subjek Pengajian Am kini bertukar menjadi alat adu-domba. Mengenangkan hal itu maka saya membuat keputusan ini menulis atas dasar tanggungjawab kepada anak-anak yang mengalami keadaan yang sama dengan saya 25 tahun lalu; untuk lulus cemerlang dalam Pengajian Am.

Tulisan Awang Selamat atas tema Biadab sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Jelas ia bertujuan melaga-lagakan pihak Istana dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.

Awang Selamat sengaja mencetuskan kontroversi. Sekali gus memutikkan bibit kebencian dan syak wasangka. Hampir serupa dengan tindakan akhbar perdana pada 1992 dan awal 1993 dahulu. Cuma hala gayanya yang berbeza. Kalau dulu, istana menjadi sasaran herdik Utusan dan Berita Harian, kini Kerajaan Pakatan menjadi tumpuan. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan batu loncatan lantas diperbesarkan sedangkan PR Selangor menganggap ia hanyalah urusan pentadbiran yang boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan.

Malangnya bukan penyelesaian yang didambakan Awang Selamat. Tulisan berbaur hasutan dan fitnah ini sengaja mahu menimbulkan permusuhan antara Istana dengan Kerajaan Negeri yang mereka lihat begitu baik dan teratur. Tulisan tidak bertamadun ini cuba membangkitkan kemarahan orang Melayu kononnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak tahu adat dan Perlembagaan.
Awang Selamat tidak ubah sebagai pecacai Umno yang menggunakan media untuk membolehkan Umno/BN merampas semula Selangor sekali gus meneruskan penyelewengan serta salah guna kuasa yang mereka amalkan sepanjang memerintah Selangor.

Persoalannya, siapakah individu yang bersembunyi di sebalik nama Awang Selamat ini? Mana perginya sifat profesionalisme seorang wartawan? Selaku akhbar utama negara dengan barisan ahli lembaga pengarah yang saya kira dari golongan cerdek pandai, mengapa tiada seorang pun yang menasihatkan Awang Selamat agar menjaga maruah seorang wartawan dan maruah akhbar perdana itu sendiri? Atau semuanya telah hilang rasa malu pada dhamir masing -masing?

Seorang yang berfikiran waras maklum bahawa dalam soal perlantikan SU Kerajaan Negeri tidak timbul langsung isu penderhakaan terhadap DYMM Sultan Selangor. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor membabitkan masalah pentadbiran antara Kerajaan Selangor dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila KSN tidak bertindak profesional dengan membelakangkan Menteri Besar selaku ketua eksekutif. Isu bertambah rumit apabila pilihan terbaik menurut meritokrasi; kemampuan, pengalaman dan kekananan dalam jawatan diketepikan begitu sahaja.

Tahukah Awang Selamat DYMM Sultan Selangor sedia mengambil maklum bahawa kerajaan UMNO/BN lah yang telah menghakis kekuasaan Raja-raja Melayu sejak krisis Perlembagaan 1993. Jangan Awang ingat Tuanku akan terpedaya dengan tulisan bermuka-muka tersebut.

Sejarah jelas membuktikan pihak mana yang suatu ketika beriya-iya benar mahukan supaya kekebalan Raja-raja Melayu dihapuskan. Malah, lebih dahsyat lagi mahu raja-raja Melayu dinyahkan daripada tahta dan istana diraja.

Pastinya selaku wartawan Awang pernah membaca laporan Berita Harian, pada 19Januari 1993 menyiarkan berita seorang Ahli Parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak raja-raja tidak dapat kekal lama “malah tahta mereka mungkin akan beralih ke muzium.

Bagi mengingatkan Awang, akhbar yang sama telah pada 16 Januari 1993 turut melaporkan seorang Menteri Besar pernah mendesak para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu tentang keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan raja-raja. Ahli Parlimen dari Pahang pula dengan tega memberi tempoh 30 hari kepada raja-raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung pindaan tersebut.

Ketika itu pergerakan Pemuda UMNO begitu ghairah mahukan Kerajaan Persekutuan berpendirian tegas dan tidak berganjak dengan pendirian menghapus kekebalan raja-raja. Jika Awang seorang nasionalis, pasti beliau masih ingat bahawa pada ketika itu kakitangan dan pegawai kerajaan termasuk Datuk Bandar tidak dibenarkan berurusan dengan istana negara kecuali dengan kebenaran Perdana Menteri. Para pegawai juga dibenarkan untuk menolak undangan ke istana untuk menghadiri majlis bersama Raja-raja Melayu.

Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya cuba melupakan peristiwa tersebut walau ianya adalah sebahagian dari sejarah negara. Namun apabila karenah manusia berubah, setelah 17 tahun berlalu, tiba-tiba hari ini pihak yang berusaha dan berjaya “menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja-raja Melayu”, kembali bermuka-muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati raja dan sultan.

Lebih dahsyat lagi mula bercakap soal penderhakaan kepada Sultan dan berselindung di sebalik nama Istana untuk mengaburi niat jahat mereka. Namun pekung mereka cukup busuk dan membusukkan. Rakyat melihat jelas ini adalah usaha terdesak mereka bagi mengembalikan sokongan terhadap mereka yang kian merosot dan parti mereka bakal menjadi parti picisan.

Awang Selamat terpilih menjadi Tok Selampit dan tukang karut. Amat menghairankan dimana hilangnya ketegasan Menteri Dalam Negeri dalam situasi bahaya ini. Mengapa Awang Selamat dibiarkan merapu dan berkeliaran umpama maling gila merosak keamanan.

PR Selangor menjunjung penuh kedaulatan DYMM Sultan Selangor yang menjadi tempat rakyat berlindung dan mencari keadilan. Titah Tuanku Sultan ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada DY Teramat Mulia Raja Muda pada 6hb Januari sangat mengujakan. Tuanku dengan jelas menjawab Awang dan pihak-pihak yang cuba menangguk di air bahawa tohmahan mereka salah. Baginda bertitah bahawa baginda begitu akrab dan mesra dengan Dato Menteri Besar Selangor, nasihat-menasihati antara satu sama lain, bertukar-tukar fikiran dalam banyak hal dan perkara.

Kerajaan Pakatan Rakyat menentang sekeras-kerasnya sebarang cubaan melaga-lagakan hubungan baik antara pimpinan negeri dan pihak Istana. Saya mendesak UMNO/BN samada atas kapasiti mereka atau dengan bertopengkan GAPS dan PERKASA berhenti memainkan sentimen ini kerana sangat memalukan sebuah parti yang begitu ghairah dengan berbagai slogan akhirnya menggunakan taktik kotor sebegini untuk mendapatkan semula sokongan. Saya juga mendesak

Kementerian Dalam Negeri jangan lagi memekakkan telinga dan berpura-pura tidak melihat tindakan Awang ini penuh dengan unsur hasutan dan fitnah melampau.

FAEKAH HJ HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR

Thursday, January 6, 2011

SELANGOR YANG DITENDANG TERAJANG



PROJEK SELANGOR


Krisis besar telah sampai ke Selangor. Sekali pandang ianya datang secara tetiba seperti banjir melanda kerana empangan pecah. Apakah betul bencana ini sampai dengan tetiba? Apakah betul ianya sampai kerana Setiusaha Kerajaan Selangor yang lama ingin bersara dan yang baru perlu dilantik? Tidak. Di belakang semua ini ada perancangan licik. Ada wayang Pak Dalang.

Umum mengetahui - sesiapa yang belum tahu sesudah membaca tulisan ini akan tahu bahawa negeri Selangor adalah yang terkaya di Malaysia. Malah antara yang terkaya di Asia tenggara setaraf dengan German, United Kingdom atau Korea Selatan. Belanjawan tahunan untuk Majlis Perbandaran Petaling Jaya sahaja lebih banyak dari belanjawan tahunan kerajaan Negeri Kedah. Ini fakta saheh.

Selama lebih dari 50 tahun warga Selangor merasa mereka telah ditipu. Pada 8 March 2008 dahulu warga Selangor tidak mahu lagi dibodohkan justeru mereka telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat dan menghumbankan kerajaan Barisan Nasional yang di kepalai oleh United Malays National Organisation. Dari fakta sejarah - ini adalah kali kedua warga Selangor mengambil sikap sedemikian. Kali pertama pada tahun 1969 dahulu.

Sikap pintar dan kesedaran warga Selangor ini telah menjadikan United Malays National Organisation hilang punca. Sesudah 8 March yang lalu gerombolan yang selama ini merampok dan mengganas di Selangor telah kehilangan peti emas. Penyamun yang memiliki pin number akoun bank tetiba angka pin ini berubah. Ini samalah seperti Raja Bersiong yang menjaga Bank Darah tetiba dihalau ke hutan.

Untuk memahami apa yang berlaku di Selangor hari ini kita wajib melihat kembali apa yang berlaku pada 8 March 2008 dahulu. Kini – sedikit demi sedikit – umum telah mula mengetahui bagaimana pada malam 8 March 2008 yang lalu Khir Toyo telah membuat beberapa panggilan talipon untuk bersubahat dengan beberapa anasir dalam Pas untuk mengagalkan terdirinya pentabiran kerajaan baru di Selangor. Ini bukan desas bin desus. Ini fakta sejarah.

Kenapa ini berlaku? Ini berlaku kerana ada bengolan-bengolan yang telah hilang kuasa ini tidak mahu menerima hakikat yang mereka telah hilang kuasa. Dalam masa yang sama ada pula bengolan-bengolan yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Bersar yang baru. Kepentingan kuasa ini telah mengikat dua anasir yang bermusuhan ini untuk bekerja sama. Kini babak sejarah malam 8 March 2008 itu telah tesebar untuk menjadi cerita-cerita rakyat yang boleh ditokoh tambah dengan aji-no-moto.

Apa yang jelas – awal-awal lagi – pada malam 8 March 2010 itu lagi United Malays National Organisation sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa di Selangor. Bukan kerana gerombolan ini ingin meneruskan khidmat suci mereka – tidak. Hilang Selangor dari kawalan bermakna United Malays National Organisation akan hilanglah punca pencarian. Selama ini Selangor adalah tempat para geromboan mencari makan – Selangor lombong emas mereka.

Ingatkan kembali kesah lagenda Abang Zak - dari seorang penjaga pintu laluan keretapi - seorang yang tidak ada pelajaran dan ilmu pengetahun telah menjadi kaya raya kerana dipilih oleh United Malays National Organisation untuk menjadi Adun dan ahli Majlis Perbandaran Klang. Ini satu contoh kecil. Bagaimana pula dengan projek mega perlabuhan Klang yang dananya lesap berbilion-bilon ringgit? Malah amat banyak lombong emas terletak di Selangor tetapi kini di bawah pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Justeru apa yang jelas disini ialah United Malays National Organisation akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali Selangor. Gerombolan ini sanggup bersekongkol dengan siapa sahaja. Gerombolan ini akan besubahat dengan siapa sahaja asalkan Selangor kembali di bawah naungan mereka.

Bayangkan hari ini banyak program gerombolan terbengkalai kerana duit putus. Limpahan fulus yang biasanya datang dari kerajaan Selangor telah kering. Lubang lubang kontrek telah tertutup. Duit komisen sama ada jual projek atau melobi untuk mendapatkan projek kini tidak ada lagi. Kering dan kontang.

Ingat? Bagaimana heboh riuh gempita dipertengahan tahun lalu kerana pelancaran kempen : Tawan Selangor . Diberitakan Mat Ezam, Noh Omar dan Khir Toyo akan gila babi berkempen ke hulu ke hilir dengan ‘road show ‘ mereka. Lepas tiga empat ceramah – tayar pancet – semua potong stim. Tak ada sesiapa berminat untuk datang mendengar kempen Mat Ezam atau Khir Toyo. Untuk menambah sedih dan pilu - ahli-ahli gerombolan kalau tak ada fulus tak akan mengalihkan punggung mereka ke mana-mana. Khalas.

Asas dan latar belakang semua ini ialah kenyataan Ketua Perhubungan Selangor Najib Razak yang telah berkata : Selangor wajib diambil kembali. Ini adalah satu arahan untuk melakukan apa sahaja demi memastikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan jatuh. Justeru kita melihat bagaimana Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan pelbagai bentuk operasi untuk memerangkap Adun-adun atau Ahli-ahli Majlis Pakatan Rakyat.

Pelbagai taktik telah dijalankan. Taktik perangkap dengan duit telah dijalankan. Seorang Adun PKR telah tewas dan berpaling tadah. Perangkap lendir yang berjaya digunakan di Perak telah juga digunakan di Selangor. Tetapi gagal. Akhirnya perangkap – siasat sampai mati – yang telah dijalankan terhadap Teoh Beng Hock. Semua ini adalah taktik dan strateji untuk menumbangkan kerajaan Selangor.

Selaras dengan operasi SPRM ini juga – kacau bilau kecil terus diadakan. Mengheret kepala lembu, membuat laporan polis kiri dan kanan, baling kepala babi dalam masjid, menyebar fitnah disana sini menjadi sebahagian dari perang saraf puak gerombolan. Sayangnya walau pun songkok yang gerombolan pakai tinggi mengawan dan lilitan serban mereka tebal membuncit tetapi tidak banyak warga Selangor yang tertarik dengan puak gerombolan ini.

Akhirnya Zionis APCO penasehat yang digaji oleh Najib Razak telah mencadangkan satu taktik baru perlu dijalankan di Selangor. Kalau di Israel rejim Zionis telah memilih Abbas dari Al-Fatah untuk menjadi pemimpin walhal yang menang dipilih oleh warga Palestin ialah parti Hamas. Taktik - pecah dan perintah a la Israel inilah yang sedang dijalankan oleh Najib Razak terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat secara resmi telah menemu duga calon-calon baru untuk dijadikan Setiausaha Kerajaan. Nama calon yang dipilih telah dihantar ke pihak berwajib untuk disahkan. Tetiba Sultan Selangor dikatakan telah membuat pilihan. Ini betul betul sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Israel Nathanyahu dahulu. Rejim Zionis tetiba memilih Abbas dan mengenepikan Hamas yang dipilih rakyat. Apa yang berbeza - di Israel tidak ada Sultan hanya kita di Selangor yang ada Sultan. Kita pula di Selangor tidak ada Nathanyahu tetapi kita ada Najibyahoo.

Disini umum wajib disedarkan bahawa Sultan dan Raja di Malaysia ini bukan Sultan dan Raja dizaman Hang Tuah dan Hang Jebat. Itu enam ratus tahun dahulu. Hari ini mereka hanyalah Raja Perlembagaan bukan BerSultan di mata dan berRaja di hati. Zaman apa sahaja Sultan dan Raja buat adalah betul telah lama berlangsung.

Umum juga perlu diingatkan bahawa United Malays National Organisation pada tahun 1993 telah meminda perlembagaan. Pindaan perlembagaan tahun 1993 ini membawa banyak perubahan dalam segi pemikiran orang Melayu terhadap sistem Raja Perlembagaan. Hari ini – lapan belas tahun kemudian – rakyat Malaysia terutama orang Melayu sama seperti warga Selangor tidak mahu lagi di tipu oleh sesiapa pun – baik oleh politikus atau pun oleh Sultan.

Rancangan jahat Najib Razak untuk menimbulkan perbalahan antara kerajaan Selangor dan Sultan ini akan berterusan. Kes Khusrin ini sedang dijadikan peluru untuk menimbulkan kacau bilau. Ini adalah penerusan strateji untuk merampas kembali Selangor dan meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Warga Selangor wajib berhati-hati dan berwaspada. Harus dingatkan anasir –anasir yang pernah ditalipon oleh Khir Toyo pada malam 8 March 2008 dahulu pasti sedang mencari-cari peluang untuk menjual Viagra di Lorong Haji Taib. Musuh-musuh dalam selimut sedang berkeliaran mencari peluang untuk mendapat pangkat dan kuasa. Gerombolan amat senang dikenali tetapi musuh dalam selimut ini tak tahu bila ianya akan menikam kita.

Dimana akhirnya krisis ini? Semuanya terpulang kepada warga Selangor sendiri. Jika mereka ingin membawa perubahan maka mereka akan terus menyokong Pakatan Rakyat. Jika mereka ingin terus ditipu dan diperbodohkan – tidak ada siapa yang dapat menolong. Hingga hari ini masih belum ditemui lagi satu suntikan yang mujarab untuk mencerdikan mereka yang suka dibodohkan dalam sekelip masa.(TT)