Sunday, July 4, 2010

MACAM-MACAM CARA NAK MENANG?

Piala Dunia :Versi baru 'Tangan Tuhan' julang Uruguay

Posted on Saturday, July 03 @ 18:21:55 PDT by tokdalang

Luis Suarez mendakwa, tindakan sengajanya menampan bola menggunakan tangan pada minit terakhir masa tambahan semalam, adalah 'Tangan Tuhan' versi 2010.

Penyerang Uruguay itu mengambil risiko apabila bertindak mengeluarkan tandukan Dominic Adiyah dengan menggunakan tangan selepas bola betul-betul berada di atas garisan pintu gol.

Seandainya dia tidak berbuat demikian, bola sudah pasti menerjah gawang, sekali gus memberi kemenangan kepada Ghana, namun dengan bertindak 'berani' dia dilayangkan kad merah oleh pengadil Portugal, Olegario Benquerenca dan bakal terlepas perlawanan separuh akhir menentang Belanda.

Pengorbanan berisiko Suarez bagaimanapun berbaloi apabila Asamoah Gyan, yang diamanahkan mengambil penalti gagal menghasilkan gol selepas tendangannya terkena palang. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat permainan dan saingan diheret ke penentuan penalti, sebelum Uruguay menang 4-2.

"Inilah adalah penamat Piala Dunia buat saya, namun saya tiada pilihan lain. Saya cuma ada 'Tangan Tuhan' sekarang.

"Saya melakukannya dengan harapan rakan-rakan sepasukan dapat memenangi perlawanan dalam penentuan penalti. Apabila saya melihat Gyan gagal menyempurnakan sepakan, ia memberi kegembiraan kepada saya," akui Suarez.

Ini merupakan insiden 'Tangan Tuhan' kedua dalam sejarah kejohanan. Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ke atas England pada final 1986 dengan menggunakan tangan dan menggelar tindakannya itu sebagai 'Tangan Tuhan'.

Sementara itu, Ghana hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas kempunan untuk melangkah ke separuh akhir buat kali pertama.

Mereka sebenarnya memiliki banyak kelebihan untuk memenangi pertarungan tanpa perlu melalui penentuan sepakan penalti, namun gagal memanfaatkannya.

Kegagalan Gyan menyempurnakan penalti memberi kesan hebat buat skuad Black Stars, yang sebelum itu turut mendahului saingan menerusi jaringan Sulley Muntari pada minit ke-45, namun Diego Forlan menyamakan kedudukan pada minit ke-55. - Agensi

Friday, July 2, 2010

SIAPA KHAIRY DAN SIAPA IBRAHIM ALI? (3)

Ibrahim dan KJ : Berdebat ?

Posted on Thursday, July 01 @ 10:50:13 PDT by paktam

Oleh Afrar Yunus

Khairy Jamaludin (KJ) seperti pukul anak sindir menantu. Sudah lama agaknya KJ simpan di dalam hatinya.Bukankah Tun Mahathir Mohamed pernah menempelaknya. Mahathir menuduh KJ menggunakan wang untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Salah seorang pesaing KJ yang kalah ditangannya adalah anak mantan Perdana Menteri kelima itu, Mukhriz Mahathir selain Khir Toyo.

KJ menang pemuda tetapi tiada jawatan dalam kabinet.

Hari ini apabila Ibrahim Ali mendapat sokongan Tun M dalam memperjuangkan kalimah Melayu yang dikira sebagai berlawanan dengan kalimah satu Malaysia, maka ini merupakan peluang KJ untuk menghentam kedua mereka dengan menggunakan sebutir peluru sahaja.

Ibrahim digelar oleh KJ sebagai Jaguh Kampung.

Hanya jauhari saja yang mengenal manikam. Begitu juga, hanya pengundi Pasir Mas sahaja yang kenal Ibrahim.

Bukan sahaja KJ, Nazri Aziz memberitahu bahawa Perkasa yang diterajui oleh Ibrahim akan ada selagi adanya Mahathir.

Bermakna, Ibrahim sebagai gedebe politik seperti yang didakwa KJ hanya sedang menunggu masa untuk dikuburkan masa depan politiknya.

Pasir Mas adalah kerusi ihsan PAS kepadanya. Namun, gedebe politiknya terhadap PAS sudah dimulakan beberapa lama dahulu.

Nasib Ibrahim masih dikira baik. Jika Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri dan Kalimullah Hassan sahabat KJ sebagai penasihat media, Ibrahim sudah lama kelihatan berenang di Pantai Cahaya Bulan.

Begitu juga Tun M sudah lama dirantai pergerakan dan dikunci mulutnya.

Najib sudah pasti mahu berbuat demikian namun bimbang kes Altantunya yang mengekorinya akan menjadi senjata Mahathir.

Bukankah Nazri Aziz menjadi jurucakap Najib Razak. Mahathir dan Ibrahim Ali tidak terlepas dek amarannya.

Begitu juga dengan KJ yang menganggap beridea reformis seperti Najib. Satu Malaysia untuk semua kaum kata Najib.

Inilah yang KJ mahu tunjukkan kepada rakan-rakan di dalam kabinet dan parti. Dia mahu naikkan imejnya semula yang sudah tercalar berbanding Ibrahim yang masih mahu mencium keris Hang Tuah.

Bagi mereka, Mahathir dan Ibrahim kelihatan seperti kucing tidak bergigi. Tikus pun boleh berlari-lari di atas kepala jika mahu.

Apa kata Ibrahim ajak KJ berdebat dalam isu yang dipertikaikannya?

Tak malukah Ibrahim apabila KJ mengatakan BN akan kena tempias jika mendekati Ibrahim ?

SIAPA KHAIRY DAN SIAPA IBRAHIM ALI? (2)

Khairy Minta Suara Perkasa Disiasat

Posted on Thursday, July 01 @ 23:52:33 PDT by paktam

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa berhubung penyiaran berita muka depan akhbar itu yang mahu Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Hari ini saya dengar Suara Perkasa keluarkan berita muka depan kata tahan Ka Siong bawah ISA, saya tidak setuju kerana benda macam itu menghasut dan salah.

"Saya lakukan ini bukan sebab saya nak pertahan Ka Siong tetapi kerana artikel ini salah dan harus disiasat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Suara Perkasa, yang merupakan akhbar Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa)dalam edisi sulungnya menyiarkan berita muka depan yang berunsur provokatif menerusi artikel "Tahan Ka Siong di Bawah ISA".

Konflik antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Khairy berkata memperjuangkan hak orang Melayu bukanlah satu masalah, tetapi kepentingan kaum lain tidak diketepikan.

"Bagi saya BN (Barisan Nasional), Umno kita nak melihat inklusif untuk semua, tidak mengapa Perkasa berjuang untuk orang Melayu, tetapi cara dia buat, saya tidak setuju," katanya.

Sementara itu, Wee ketika ditemui berkata beliau akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung penyiaran artikel tersebut.

Katanya, beliau hairan kenapa perkara itu tersebut masih dibangkitkan sedangkan penjelasan berhubung isu biasiswa telah diberikannya. -BERNAMA