Thursday, July 22, 2010

ORANG PERSEKUTUAN BOLEH! MALAYSIA BOLEH!

KSN: Nik Ali tidak akan diambil tindakan

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus yang memberi kenyataan balas terhadap tuduhan Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadapnya.

Beliau berkata Nik Ali perlu memberi penjelasan terhadap segala tuduhan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

"Kalau dia (Nik Ali) dituduh dengan perkara tidak benar dan dihentam berkali-kali, dia pun ada nilai diri, kalau dia tak jawab nanti orang kata dia bersalah, jadi wajarlah penjelasan diberikan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan forum Garis Panduan Pemerolehan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan berita sebelum ini menyebut, ketegangan antara Lim dan Nik Ali timbul apabila Ketua Menteri tersebut didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyerang pegawai terbabit.

Antaranya Lim dikatakan mendakwa pegawai berkenaan sebagai "tidak profesional, tidak kompeten, pengecut dan patut dipecat" berhubung isu curi pasir di Balik Pulau.

Dakwaan Lim itu menyebabkan Nik Ali tampil membuat kenyataan dalam media untuk mengkritik Ketua Menteri berkenaan dengan menyifatkannya sebagai biadab manakala tindakannya menyerang Pegawai Pembangunan Negeri itu telah merendahkan statusnya sebagai Ketua Menteri.

Mohd Sidek berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam berpendapat perbuatan menghentam penjawat awam di khalayak ramai tentang perkara yang tidak benar adalah satu perkara yang patut dihentikan.

"Ketua Menteri tak sepatutnya menyalahkan Nik Ali kerana kerja-kerja tersebut bukan di bawah tanggungjawab beliau, kalau pun ada (kesalahan) tak perlu pergi kepada media dan menyalahkan seseorang itu.

"Lim sepatutnya pergi ke jabatan yang berkenaan menyatakan ini berlaku dan melalui saluran yang betul," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Nik Ali akan "dihalau" keluar dari negeri itu, Mohd Sidek berkata: "Itu satu kezaliman dan melampau, lagipun Nik Ali pegawai Persekutuan yang dihantar untuk mengetuai pejabat Persekutuan (di negeri itu). Saya amat takut kalau seseorang pemimpin berkelakuan begini," katanya.

Tuesday, July 6, 2010

APA NAK JADI DENGAN MURID SEKOLAH?

Muhyiddin Sibuk Fitnah Anwar dan Pembangkang.
Apa Terjadi Pada Murid Sekolah ?


Posted on Tuesday, July 06 @ 20:30:35 PDT by tokdalang

Oleh: WFAUZDIN NS

MASALAH remaja dengan berbagai ragam dan kegiatan negatif mereka bukan sahaja wajib ditangani oleh kedua ibu bapa mereka sahaja. Semua pihak mesti memainkan peranan agar masalah yang semakin kritikal ini dapat dikurangkan walaupun agak mustahil untuk dihentikan. Peranan ibu bapa dan keluarga adalah untuk mendidik serta mengasuh mereka, begitu juga dengan peranan masyarakat dan institusi pendidikan dengan kaedah mereka yang tersendiri

Paling penting juga adalah peranan pemerintah samada di pihak kerajaan yang memerintah. Agak terkejut juga apabila membaca laporan bahawa terdapat 1o buah sekolah `panas' di sekitar Kuala Lumpur di mana sekolah-sekolah tersebut menyimpan rekod kegiatan jenayah, masalah disiplin dan sosial berlaku di kalangan pelajarnya. Laporan itu memetik kenyataan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur sendiri dan bukannya kenyataan dari pihak sekolah mahupun Kementerian Pelajaran. Kenyataan penuh disiarkan di sini.

Amat malang sekali di saat PDRM sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian untuk mengingatkan kita betapa seriusnya masalah ini di kalangan pelajar, Menteri Pelajaran yang juga TPM Muhyiddin Yasin sibuk dengan isu yang bukan-bukan dan mengarut. Beliau hanya mahu mencari keuntungan politik peribadi beliau semata-mata. Beliau tidak serius menangani masalah yang dihadapi di sekolah-sekolah dan kelihatan seperti ingin menyerahkan semuanya kepada pihak keselamatan. Apa yang beliau sibukkan adalah tentang DS Anwar kununnya sebagai pengkhianat Melayu, dan yang terbaru sibuk memberi amaran kepada akhbar Suara Keadilan. Kita naik keliru semenjak bila pula beliau sibuk jaga kementerian orang lain sedangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah tidak juga selesai malahan bertambah buruk.

Kenyataan Muhyiddin di Pagoh, Muar yang menyebut kununnya PKR hendak tunjuk siapa lebih besar dan berani di dalam isu permit Suara Keadilan yang kini masih belum diperbaharui itu. Kenyataan Muhyiddin boleh dibaca di sini. Sewajarnya isu tersebut boleh diserahkan kepada KDN untuk membuat komen dan Muhyiddin perlu peka kepada kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur itu.

Tidak takut atau bimbangkah Muhyiddin dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur itu? Itu baru rekod di sekitar Kuala Lumpur, belum kita ketahui berapa jumlahnya di seluruh Malaysia. Apa tindakan beliau untuk mengatasi masalah ini? Adakah dengan melakukan fitnah terhadap DS Anwar dan PKR mahupun parti di dalam PR mampu mengatasi masalah pelajar-pelajar ini? Sekiranya beliau tiada idea untuk memperbaiki imej kementeriannya, beliau sewajarnya menyerahkan kepada orang lain yang mampu dan lebih berwibawa darinya.

Muhyiddin tidak pernah berani untuk membuktikan apa jua tuduhannya terhadap DS Anwar mahu pun parti pembangkang. Jauh sekali beliau berani untuk berdebat secara terbuka. Beliau hanya menonjolkan dirinya seolah-olah jaguh perjuangan orang Melayu sedangkan para remaja yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur itu majoritinya adalah remaja Melayu. Jika Muhyiddin gagal untuk memperjuangkan nasib remaja Melayu di peringkat sekolah, diterima akalkah kita Muhyiddin mampu memperjuangkan nasib Melayu di negara ini? Tidak terfikirkah Melayu khususnya di Johor tentang semuanya ini?

Muhyiddin bukan sahaja gagal sebagai TPM, lebih memalukan beliau dilihat gagal selaku Menteri. Muhyiddin tidak mempunyai rekod yang cemerlang semenjak beliau memimpin Johor lagi. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkannya untuk menyerang Pembangkang lebih memperlihatkan pemikirannya yang amat rendah dan terlalu mudah buat kita Blogger sahaja menjawabnya. Justeru itu, tidak hairanlah apa yang telah berlaku di bawah Kementeriannya hari ini dan ianya tidak akan berubah selagi Muhyiddin masih di situ./wfauzdin.blogspot.com

Monday, July 5, 2010

MEDIA ADA AGENDA TERSEMBUNYI

Nik Aziz: Media ada agenda tersembunyi
Jul 5, 10 11:54am
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan supaya semua pihak tidak terpengaruh dengan laporan Benama bertajuk “Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti Untuk Berebut Jawatan Pada Muktamar PAS Tahun Depan” yang disiarkan kelmarin.

"Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan.

"Hanya Allah jua yang maha mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah," tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan turut menegaskan bahawa laporan agensi berita itu adalah "tidak benar dan di luar konteks" daripada apa yang dimaksudkannya.

"Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannya dari maksud sebenar kenyataan saya," katanya.

Menurutnya, menjadi lebih malang apabila berita itu dijadikan rujukan oleh beberapa media online dan media cetak seperti Malaysian Insider, Berita Minggu, Sinar Harian dan Sunday Star.

"Namun, akhbar online Malaysiakini turut menyiar kandungan laporan Bernama, tetapi diharmonikan dengan tajuknya sendiri, iaitu “Nik Aziz cadang tiada pemilihan dalam muktamar.”

"Itupun masih tidak tepat, kerana pemilihan dibenarkan di dalam perlembagaan PAS. Sedangkan, pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada asas perlembagaan PAS yang perlu dipatuhi demi mengelak apa-apa perbalahan, mahupun perpecahan," kata Nik Aziz.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih atas laporan media yang berimbang seperti New Sunday Times dan Mingguan Malaysia yang tidak memetik laporan agensi berita itu.

"Sebaliknya ia telah menyiarkan berita yang ditulis wartawannya sendiri. Begitu pula, Sinar Harian didapati memetik laporan Bernama, tetapi turut menyiarkan di ruang Kelantan kenyataan yang dianggap tepat mengenai cadangan saya agar berlaku syura bagi pemilihan dalam PAS.

"Sementara Mingguan Malaysia tidak memetik laporan Bernama, sebaliknya menyiarkan kenyataan yang agak tepat dengan maksud sebenar saya," katanya.

Sehubungan itu dalam kenyataan itu juga, beliau turut menyertakan jawapan penuh beliau selepas ditanya oleh wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan parti tahun depan.

“Kalau boleh tidak perlu bertanding, kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan. Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

“Pe
ngalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama' satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan.

"Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Nik Aziz berkata penjelaskan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS.