Tuesday, February 1, 2011

ISLAM MAHATHIR, ISLAM NIK AZIZ: APA BEZANYA?


Saya petik:
[HD] Ketika berperang kata-kata dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara tiba-tiba menghunuskan keris beliau kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana keengganannya untuk turut serta menghentam Kuan Yew.

Mahathir, tiba-tiba ingin muncul sebagai hero membela Islam dalam menghentam Kuan Yew, yang baru menerbitkan buku terbarunya bertajuk ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going’ menyeru umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut, selain mengkritik cara Mahathir melayani pengganti-penggantinya selepas bersara menjadi Perdana Menteri.

Nik Aziz, bagaimanapun enggan terlibat dalam pertengkaran dua pemimpin tersebut, dengan mengatakan bahawa ada orang Melayu-Islam yang turut menolak Islam.

“Kuan Yew hanya cakap jangan pegang Islam kuat sangat berbanding dengan orang Melayu di negara kita yang buang semua (Islam) dan ambil kebangsaan,” Nik Aziz dipetik sebagai berkata.

Ekoran kenyataan Nik Aziz, Mahathir terus menuduh beliau sebagai tidak menyokong Islam kerana lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Kuan Yew.

Namun begitu, serangan Mahathir terhadap Nik Aziz penuh dengan hipokrisi dan kemunafikan Umno, terutama ketika dilihat berlatarkan insiden-insiden terbaru cukup untuk menunjukkan Umno selektif dalam "membela Islam" dan untuk keuntungan politik semata-mata.

Contoh terbaru sifat hipokrisi ini terserlah ketika kempen pilihanraya kecil DUN Tenang yang baru berakhir, di mana Umno gagal untuk memberikan sebarang teguran terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang menyerang amalan Islam semata-mata untuk menakutkan pengundi Cina terhadap PAS – satu misi, yang akhirnya gagal dengan teruknya berdasarkan keputusan pilihanraya di mana undi Cina kekal di tangan PAS.

Tiada seorang pun pemimpin Umno, termasuklah Mahathir yang tampil ke depan untuk mengkritik Presiden MCA, Chua Soi Lek atas penghinaan terang-terangan beliau terhadap Muslimat yang enggan bersalam dengan kaum lelaki bukan muhrim.

Disokong dengan kesenyapan Umno dan bermati-mati untuk tidak memohon maaf, Chua yang pernah ditangkap bertelanjang bulat dalam skandal video seksnya, telah secara angkuh mempertahankan kenyataannya. Dan ketika dikritik atas sifat jahilnya terhadap budaya lain, Chua membalas bahawa ‘there was nothing great’ (Apa yang hebat sangat) untuk mengenali amalan agama Islam.

"So what is so great about that? That is your religious values which I don't know. How am I to know when I'm not practising that religion?”

"I have the right to say that it's basic manners to shake hands with people. That's my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands," Chua dipetik sebagai berkata.

(Apa yang hebat sangat tentang itu? Itu amalan agama kamu yang saya tak tahu. Macammana saya nak tahu jika saya tak pratikkan agama itu?

(Saya mempunyai hak untuk mengatakan bahawa ini adalah sikap sopan-santun yang asas untuk bersalam dengan orang lain. Itu nilai saya. Faham? Kamu mesti juga menghormati nilai saya, iaitu sikap sopan-santun yang baik, termasuk bersalam
)

Dalam isu perpecahan umat Islam di negara ini, Mahathir sekali lagi lupa memandang cermin apabila menyalahkan PAS dan Nik Aziz sebagai pemecahbelah orang Islam kepada tiga kumpulan yang menjadi penghalang terbesar kepada ‘perpaduan Melayu’, apabila sejarah jelas menunjukkan bahawa siapa yang memecahkan politik orang Melayu pada tahun 1988 dan 1998.

Pada tahun 1988, pertarungan hebat Mahathir dengan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Presiden Umno telah memecahkan Melayu Umno kepada dua, dengan terbentuknya parti Semangat 46 yang menjadi kepada pemangkin kepada gabungan parti pembangkang yang pertama, Angkatan Perpaduan Ummah antara PAS dan Semangat 46 (serta Hamim dan Berjasa).

Satu dekad kemudian, orang Melayu, dan orang Malaysia pada keseluruhannya dilanda kemelut apabila Mahathir mengambil keputusan untuk membuang Anwar Ibrahim daripada kabinetnya, dengan tuduhan-tuduhan yang paling dahsyat yang tidak pernah dilihat dalam sejarah politik orang Melayu.

Ini membuka kepada lanskap politik yang baru dengan pembentukan Parti Keadilan Rakyat, yang kini menjadi salah satu daripada tiga komponen parti terpenting dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan PAS.

Dalam meneruskan hujahnya, Mahathir juga menyoal, teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam apabila mereka memastikan negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam dan juga menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan.

Mahathir, sudah tentunya tidak mengiktiraf masalah yang paling jelas pada saat ini yang mengganggu pemimpin “nasionalis Melayu” iaitu rasuah dan salahguna kuasa yang kian berleluasa.

“Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam.

"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?” kata Dr Mahathir, sekali lagi menunjukkan kejahilannya dalam politik Islam.

Mahathir akan menjadi orang terakhir untuk menerangkan samada korupsi berleluasa, kebocoran dan ketirisan besar-besaran, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi terhadap bangsa lain melalui slogan bauran Ketuanan Melayu juga sebahagian daripada "amalan Islam" yang disebutnya.

Sebaliknya, Nik Aziz nampak lebih konsisten dengan mesejnya bahawa Islam adalah penyelesaian kepada masalah-masalah negara, dan untuk beliau, tiada alasan untuk pemimpin Melayu-Islam untuk menolak Islam dalam pentadbiran mereka.

Untuk membuktikan keIslaman, mereka hanya perlu menghentikan rasuah, salahguna kuasa, kebocoran kewangan, ketidakadilan dan diskriminasi terhadap kaum lain.

Walaupun ramai yang nampak bahawa ini adalah satu percubaan (daripada buku politik Mahathir) untuk mengalihkan padangan orang Melayu kepada satu “common enemy” (musuh bersama) daripada kepincangan dan masalah yang sedang dialami negara kita, serangan Dr Mahathir mungkin mempunyai agenda yang lebih besar iaitu untuk membantu Umno untuk menyingkirkan musuh yang paling digeruni mereka, iaitu Nik Aziz.

Apa tidaknya, Nik Aziz telah menjadi batu sandungan (penghalang) terbesar kepada idea perpaduan Mahathir dan ipar-iparnya di Perkasa, dan mematikan Nik Aziz juga akan melumpuhkan segala usaha menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai pengganti Umno pada pilihanraya umum yang akan datang.
P/s: Sebenarnya banyak fakta dan hujah yang boleh ditambah pada artikel ini, namun saya tidak mahu menambah kepanjangan artikel sedia ada.

Monday, January 31, 2011

MENGHINA ISLAM : DARI MAHATHIR HINGGA NAJIB

Umno terpaksa galas MCA yang lumpuh
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.

"Tak ada batu, beban digalas," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.

"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.

"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.

Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.

"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.

"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.

"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.

Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.

"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.

"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.

Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.

Monday, January 24, 2011

SIAPA YANG LEBIH MEMAHAMI ISLAM: MCA ATAU DAP?

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Mana dia Tok Mufti, ustaz, ulama muda, tok-tok Imam dan golongan agamawan yang menyokong Umno dan ketuanan melayu. Kemana mereka semua ini menikus. Takkan mereka tak sedar, ucapan pemimpin mereka apabila berhadapan dengan pengundi cina. Betapa ucapan mereka mengugut kalangan non muslim dengan Negara Islam. Cakap mereka lebih munafik dari para munafik dan lebih kafir dari golongan kafir.

Yang mengherankan kita pula apabila mereka bercakap dihadapan orang Islam dan para agamawan, dihadapan guru-guru sekolah agama atau para imam dan bilal masjid.. lebih Islam pada Islam pulak. Bercakap untuk memperjuangkan agama mengalahkan pejuang Palestine dan para sahabat nabi. Terlopong dan ternganga para imam… betapa tulus ikhlasnya para pemimpim UMNO ni nak menegakkan Islam.

Di Tenang ini zahirlah wajah sebenar UMNO-BN. Inilah sikap talam dua muka. Lidah bercabang pimpinan UMNO-BN. Sebab itu kalau bertemu ular dengan pemimpin UMNO diharap bunuhlah UMNO dahulu. Sebab betapa berbelitnya pimpinan UMNO demi pangkat dan kuasa mereka meskipun terpaksa mereka jual apa sahaja.

UMNO sendiri terpaksa menurut kehendak MCA apabila calon daripada pimpinan UMNO Labis ditolak oleh MCA kerana menjadi ahli PERKASA. Sebab itulah dicalonkan Azahar Ibrahim sebagai calon UMNO yang tidak popular dan bukan dari pimpinan UMNO Labis. Kita tengoklah pulak macamana dengan novel Interlock yang kontreversi itu. MIC sudah mendesak agar digugurkan novel tersebut. Kita tengoklah nanti, UMNO ada batu ke tidak???

Ketika berkata Chua Soi Lek sepertimana yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini..
“ Normala tidak akan datang ke kuil ini, dia tidak akan berjabat tangan dengan orang ramai. Saya telah menerima aduan tentang perkara ini, Dia seperti isteri Anwar Ibrahim.. Dia memakai sarung tangan jika hendak berjabat tangan, jika anda semua boleh menerima nilai-nilai Islam sebegini, teruskan dan undilah PAS. Jika anda boleh menerima cara hidup yang mengikut ajaran Islam itu, mudah saja.. undilah PAS”

Inilah dikatakan kelemahan pimpinan UMNO. Bukan sahaja terpaksa mengikut desakan MCA bahkan gagal mengawal rakan kongsi dalam BN supaya tidak menghina ajaran Islam bahkan menakutkan rakyat dengan Islam. Betapa sekian lama UMNO gagal member penjelasan yang sebenarnya tentang Islam.

Ini adalah kerana pimpinan UMNO itu sendiri jahil tentang Islam. Bahkan jenis keras kepala yang tak ingin mendengar nasihat atau tunjuk ajar ulama. Ini yang menyebabkan mereka menyokong pula penghinaan oleh Chua Soi Lek. Dengan tidak berasa bersalah walau sikit pun ketika mengulas kenyataan Chua Soi Lek, TPM Tan Sri Muhyidin Yasin berkata: “ PAS masih menympan hasrat mereka untuk membentuk negara Islam jika berjaya menguasai Putrajaya. Sejak daripada dahulu pun PAS tidak pernah mengatakan mereka nak pinda perlembagaan (membentuk Negara Islam) mereka, ianya masih ada… jadi baik juga MCA mengingatkan kepada masyarakat cina”.

MB JOHOR, Ghani Othman: “Apa akan jadi bila PAS mendapat kuasa? Pas kini sudah sampai ke kawasan-kawasan FELDA. Mereka kata mahu menubuhkan Negara Islam. Mereka kata mahukan undang-undang yang akan memotong tangan kamu jika mencuri”
Inilah sikap sebenar UMNO. Mereka bak sesumpah. Boleh menukar wajah bersesuaian dengan tempat persembunyian mereka. Apa peduli halal dan haram. Yang penting mereka meraih undi untuk menenangan di dun Tenang. Dalam masa yang sama mereka melempar batu menyembunyi tangan. Media bersama mereka akhirnya Pas akan dikambing-hitamkan. UMNO dibedak putih melepak. Tetapi sampai bila agenda penipuan dan kebatilan ini??? Mereka cuba mengalih isu sebenar yang menimpa rakyat. Mereka menyerang menggunakan isu sensitif umat Islam. Jangan terjebak ke perangkap provokasi UMNO-BN. Apapun yang pasti akan tiba lahirnya kebenaran dan kebatilan UMNO akan tumpas dan tenggelam.
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/