Saturday, August 28, 2010

STRATEGI KHATIB PAK YA MAT MENGENA!

Oleh Mohd Sayuti Omar

SUKAR untuk saya mengesahkan apakah khatib bernama Zakaria Ahmad (Pak Ya Mat) yang kini berjaya menenggelamkan Mat Maslan yang cuba memberi tahu rakyat bahawa Felda adalah sebuah institusi kerajaan yang berjaya dan banyak membantu orang Melayu, ada strategi politik ataupun tidak apabila beliau membaca doa untuk kesejahteraan dan kemakmuran kerajaan Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guang Eng.

Sekiranya Pak Ya Mat ada strategi tersendiri dan mahu menenggelamkan populariti Mat Maslan, semisalnya, ternyata strategi itu berjaya dan mengena.

Sejak Pengerusi Umno Pulau Pinang, Ahmad Zaid Hamidi cuba memberi imej buruk kepada Pak Ya Mat dan kerajaan Pulau Pinang, nama Pak Ya Mat menjadi sebutan di mana-mana. Gara-gara tindakan Zahid itu juga menyebabkan rakyat Malaysia tidak tahu kewujudan Pak Ya Mat di dunia ini, menjadi tahu dan kenal padanya.

Nama Pak Ya Mat disebut sepanjang masa sehari dua ini dan tindakannya itu dilihat dengan berbagai tafsiran. Yang nyatanya dia popular. Bukan saja Pak Ya Mat boleh menimbuskan kehebatan dan populariti ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sering muncul dengan isu-isu kontroversi entah-entah yang menyerabutkan kepala, tetapi nama Mufti Perak, Harussani Zakaria juga terpinggir. Untuk kembali menjadi popular Harussani nampaknya kena cari idea baru dan merekasakan macam-macam lagi untuk mengejutkan orang ramai.

Orang melihat tindakan Pak Ya Mat itu sebagai berani dan sihat. Ia lebih sihat daripada tindakan Mutfi Perak yang cuba meletakkan kesalahan atas kelemahan Melayu kini kepada Pas dan PKR. Bahkan, kehebatan Pak Ya Mat itu juga mengatasi presiden Pas sendiri, Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana mungkin mereka tidak akan tergamak mendoakan kesejahteraan untuk kerajaan Pulau Pinang tetapi dilakukan Pak Ya Mat. Saya berani berkata kalau Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz diundang membaca khutbah di Pulau Pinang mereka tidak berani melakukan apa yang Pak Ya Mat lakukan itu, mendoakan kesejahtraan kerajaan Lim Guan Eng.

Justeru apa yang Pak Ya Mat lakukan itu, menunjukkan dia berani. Beliau telah menambahkan nota baru dalam kitab-kitab siasah politik negara. Mengharuskan yang dirasakan haram sebelum ini. Tindakan ini sebagai hebat. Seseorang ustaz atau ulama seharusnya sedia membuka minda dan membawa pemikiran baru dalam usaha menyemarakkan agama.

Saya tidak sedia untuk mempertahankan tindakan Pak Ya Mat itu dengan turut mencari hadith atau ayat Quran yang sewajarnya. Cuma saya nak katakan kalau Pak Ya Mat mendoakan untuk kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang di dalam masjid ia tidak akan menjadi persoalan. Sudah tentu bukan saja Zahid dan Mat Maslan menyokongnya tetapi, Najib dan Rosmah juga bersetuju.

Apa juga yang saya suka dan syoknya bila mana Pak Ya Mat tidak mudah mengaku kalah. Dia tidak gentar dengan gertakan Zahid. Dia mengakui apa yang dituduhkan ke atasnya dan mempertahankan sebagai tidak salah, cuma tempat saja tidak sesuai. Itupun dijawabnya selamba saja seperti orang memamah sireh. Inilah agamawan yang kita mahu, tegas dan tidak mengubah setiap apa yang diijtihadkan. Bila kita sudah yakin dengan ilmu yang kita pegang maka ia hendaklah diyakini sampai ke peringkat kul haqku yakin.

Pak Ya Mat juga juga tidak gentar bila Zahid terus cuba memanipulasikan kejadian itu dengan meminta Pak Ya Mat memohon maaf kepada Yang Dipertua Agung. Kata Zahid siasatan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) ke atas Pak Ya Mat tidak cukup. Ia terlalu ringkas saja. Bila Zahid berkata begitu ia seakan mahu membuka semula balutan pekung di dadanya. Saya setuju kalau Zahid mendesak MAIPP buat siasatan semula, tetapi beliau juga harus meminta polis membuat siasatan semula ke atas laporan motoris bernama Amir Badzli yang didakwa dipukul oleh menteri itu.

Pak Ya Mat tidak pun takut dengan ugutan Zahid itu. Sebaliknya dengan tegas dia bertanya untuk apa dia memohon maaf kepada Yang Dipertua Agong kerana dia tidak bersalah. Iya tak iya juga macam mana Zahid nak suruh orang melahirkan anak daripada orang yang tak mengandung? Mat Maslan pun ketawa ayat ini, he he he...

Pernyataan Pak Ya Mat itu menempelak Zahid. Khatib itu tidak takut pun kepada menteri pertahanaan itu. Nampaknya Zahid bukan saja tampil untuk mempertahankan keselamatan negara, tetapi telah obius mempertahankan partinya Umno. Mungkin Zahid sedar selepas keris lucah Umno tidak mampu mempertahankan Umno, selepas C4, bom M 16, sterling dan sebagainya tidak boleh digunakan untuk mempertahankan Umno maka beliau cuba mengheret sultan agar memancung Pak Ya Mat.

Keberanian dan ketegasan Pak Ya Mat itu saya tegok bukan berhenti di situ saja. Orang seperti beliau diperlukan dalam membangunkan negara ini. Kerana itu saya rasa Pas atau PKR wajar kalau menyediakan kerusi untuk Pak Ya Mat dalam pilihan raya akan datang. Saya rasa kalau dia menentang Abdullah Badawi di Kepala Batas pun boleh menang. DAP tentu akan menyokong penuh Pak Ya Mat yang mendoakan kesejahteraan ke atas kerajaannya. Dan kalau ini berlaku maka satu lagi keajaiban politik Malaysia yang mana keajaiban ini menyebabkan Umno akan tumbang.

Pak Ya Mat adalah lambang kepada ustaz, ulama, saik, pemukul beduk, khatib dan para imam yang menentang Umno. http://msomelayu.blogspot.com/

Tuesday, August 17, 2010

PERMULAAN ZINA. BAGAIMANA?

MESTI BACA..!!! GELAP DALAM LIMPAHAN CAHAYA

بسم الله الرحمن الرحيم



“Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.
“Terlanjur melakukan hubungan seks haram,” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”
“Apa istilah yang lebih tepat?”
“Berzina!” jawab saya pendek.

Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.”
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”
“Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.”
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”

Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.
“Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.”
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.

“Ai, zina pun ada mukadimahnya?”
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”
“Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!”
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.

“Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”
“Baik-baik. Teruskan…”
“Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.”
“Ok. Apa maksud awak?”

Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”
“Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.

“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”
“Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!”
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”
“Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.”

Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata.
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”
“Fasal apa pula?”
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”

“Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
“Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”
“Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!”

“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”

“Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.”
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”:
“Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?”

“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”

“Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?”
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”

“Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.”
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”
“Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…”

“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina. Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!”

“Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.”
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”
“Islam menyuruh kita membenci?”
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”

“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”

“Apa awak cakap ni?”
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”
“Banyak sangat perlambangan!”

“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”

“Itu sejarah.”
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunah.”
“Awak sindir saya?”
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”

“Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”
“Apa maksud awak?”
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? ”

“Jadi awak setuju atau tidak?”
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘sazdus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”
“Ei, ada kempen solat juga?”

“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”
“Wah, awak nak cakap tentang solat pula…”

Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan!

Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup?

Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!

PETIKAN : Pahrol Mohd Juoi di http://genta-rasa.com

Friday, August 13, 2010

KE MANA ARAH POLITIK GURU

Oleh Lanh

DUNIA pendidikan (sekolah) semakin kelam-kabut, kata seorang guru kepada penulis. Lepas satu isu ke satu isu ditimbulkan pemimpin politik sedangkan yang lama belum diselesaikan. Pihak menanggung beban adalah guru yang bukan saja terbeban dengan gelagat orang politik yang menjadi hantu dunia pendidikan ini tetapi juga anak-anak murid yang semakin sukar diajar; ringkasnya kurang ajar.

Terbaru guru siswazah dibenarkan menyertai politik. Bunyinya macam pihak atasan begitu prihatin dan bersikap terbuka, namun jika difikirkan ia mendatangkan implikasi amat buruk

Tentunya pada ketika Umno-BN memerintah, politik yang dibenarkan adalah politik Umno-BN, jadi dengan perubahan ini, guru-guru yang menyokong pembangkang usahlah berangan untuk melebarkan sayap; silap-silap haribulan dipulau dan dikirimkan ke pedalaman. Jadi tentulah cikgu berfikir, lebih baik diamkan diri, nanti dah pencen aktiflah seperti mana dilakukan ramai pesara guru.

Dulu pada ketika guru ini tidak dibenarkan aktif berpolitik, politik Umno termasuk Puterinya selalu masuk sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mempengaruhi pelajar, kelonggaran terbaru itu dibimbangi akan menyebabkan sekolah-sekolah akan menjadi sarang/markas Umno-BN.

Guru-guru pendukung Umno-BN akan berdendang di sekolah, dewan malah bilik darjah dan makmal akan bebas digunakan mereka menjalankan projek masing-masing. Bukankah ini menjadi cukup bahaya. Jika dulu dewan menjadi tempat mesyuarat agung Umno, nanti bilik guru pun jadi markas mereka. Umno apa peduli, masjid dan surau pun mereka salahgunakan untuk kepentingan politik sedangkan pemimpin mereka sendiri mencanangkan jangan gunakan masjid untuk tujuan politik.

Kenapalah agaknya dunia dan institusi pendidikan seperti sekolah dijadikan pemimpin Umno-BN untuk menunjukkan jaguh? Mengapa mereka kerap bertindak untuk mengubah keadaan kononnya? Misalnya, mengapa mereka pandai-pandai melontarkan pandangan untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR?

Seorang pemimpin kesatuan guru berkata, dalam percubaan mereka untuk melakukan perubahan, mereka tidak pula menyatakan jawapan atau alternatif kepada cadangan itu sebaliknya menyuruh pihak bawahan membahaskannya.

Katanya, sepatutnya pihak berkenaan sudah menyiapkan syor, kajian, pilihan, dan jawapan berhubung cadangan itu tetapi nampaknya peserta diskusi membincangkan perkara yang belum ada. Misalnya, kalau dihapuskan UPSR dan PMR ini, apa pilihan yang ada. Ini masyarakat tidak tahu apa yang mahu ditawarkan, jadi teraba-rabalah mereka dalam perbahasan.

Ini samalah seperti idea seorang bekas PM dulu yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik sedangkan kajian, pelan percubaan dan rancangan masa depan tidak ada lagi. Akhirnya, semuanya tidak menjadi, sekolah kembali ke pangkal jalan, budak-budak kembali menggunakan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan.

Demikianlah mengapa dunia pendidikan gemar dikacau-kacau oleh hantu ini? Hantu-hantu ini mengharu-birukan dunia pendidikan, mereka ingat anak-anak murid dan guru-guru di sekolah itu ‘guinea pig’ untuk mereka melakukan ujian bagi membuktikan kehebatan mereka? Oleh itu, wahai hantu jangan mengacau lagi, nanti lebih banyak guru dan murid diserang histeria, rosak negara kita.

Hari ini dunia pendidikan anak bangsa kita amat huru-hara. Banyak hantu hidup dalam bidang ini, mereka menjadikan dunia pendidikan tempat untuk meraih populariti, lantas menjadi juara rakyat kononnya. Apabila tukar perdana menteri dan menteri, banyak perkara berubah, guru jadi pening kepala.

Dulu, ketika era PM Abdullah Ahmad Badawi, warga sekolah terutama cikgu diminta memahami dan kemudian menyerapkan fahaman Islam Hadhari di sekolah, kini mereka disibukkan pula dengan 1Malaysia. Islam Hadhari sudah tercampak ke mana, guru pun tidak ingat lagi 10 Prinsip Asasnya.

Kini guru diminta pula menghadam 1Malaysia. Mereka pun tidak faham apa itu 1Malaysia, tetapi kenalah buat-buat faham untuk disampaikan kepada anak murid.

Selain hantu dalam dunia pendidikan, warga pendidik juga terkesan dengan hantu-hantu yang berkeliaran di luar sekolah. Ini kerana hantu-hantu ini ada pengaruh besar ke atas anak-anak murid-murid mereka.

Antara hantu itu adalah hantu fitnah. Hantu ini adalah media massa. Surat khabar, TV dan radio adalah gengnya. Susah dipisahkan satu sama lain. Seolah-olah ada kerjasama yang amat erat sesama mereka. Hantu jenis ini percaya dia saja betul, lepas itu hasut orang percayakan dia. Dia buat ‘story’ memburukkan pihak lawan, kemudian siar gambar tak senonoh dan lucah.

Budak-budak sekolah cukup senang ditemberang oleh hantu media massa ini. Malah kadang-kadang mereka bersekongkol pula. Budak-budak sekolah pun sama jadi hantu, mereka lebih ‘advance’ pula, misalnya membuat penggambaran lucah dan menyebar-luaskannya dengan menggunakan telefon mudah alih dan komputer riba.

Demikian betapa banyak hantu mahu merosakkan kita, berdoalah agar hantu-hantu ini dimusnahkan pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka dipasung bagai syaitan dipasung pada bulan Ramadan. Jadi tidaklah lagi mereka berkeliaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi!